Kerajaan tidak tergesa-gesa buka pintu sempadan
Oleh SALMAH MAT HUSAIN - October 30, 2021
KOTA BHARU: Kerajaan tidak akan terburu-buru membuka pintu sempadan negara untuk tujuan pelancongan bagi mengelak berlaku peningkatan kes Covid-19 ketika kerajaan berusaha melawan pandemik itu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri, berkata untuk peringkat pertama, kerajaan bersetuju menjadikan Langkawi sebagai contoh program pelancongan domestik ketika pandemik.
“Kita lihat sejauh mana keberkesanan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti pelancongan antarabangsa.
“Bagi pelancong yang berkunjung ke Langkawi, mereka perlu lengkap menerima suntikan dua dos vaksin,” katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya di Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penggiat seni budaya Kelantan dan beramah mesra dengan peniaga pasar terapung.
Pada masa sama, Nancy berkata, pengunjung ke Langkawi perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari kelima untuk melihat wujud jangkitan atau sebaliknya.
Menurutnya, jika SOP di Langkawi menunjukkan kejayaan, kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selain itu, katanya MOTAC akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk melihat SOP terbaik dalam mengekang penularan jangkitan.
Beliau berkata, kerajaan perlu berhati-hati kerana masih banyak negara yang sedang berdepan gelombang baharu jangkitan pandemik itu.
“Kita tidak mahu mengikut langkah negara lain yang masih berdepan jangkitan Covid-19. Apa yang dilalui negara luar yang membuka pintu sempadan untuk tujuan pelancongan sebelum ini perlu dijadikan iktibar. Kita tidak mahu apabila sempadan dibuka, kes akan naik semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/21
https://harakahdaily.net/index.php/2021/10/30/kerajaan-tidak-tergesa-gesa-buka-pintu-sempadan/